Cuba kau andaikan irama itu adalah perhubungan kita. Pentas pula adalah persekitaran kita, kehidupan kita. Kau dan aku adalah penari yang menari mengikut rentak irama itu. Bila irama rancak, kita menari dengan hati yang girang. Bila ia berentak perlahan, kita menari dengan hati yang tenang. Tapi mungkinkah tarian kita akan jadi bercelaru, bila irama itu bertukar secara tiba-tiba? Bukankah kita harus bertenang dan terus menari mengikut rentak yang kita dengari?
Suatu ketika, aku mengajak kau menari bersama aku, tapi ternyata langkah kaki kita tak lagi seiring. Kau terus memarahi aku secara tak sengaja terpijakkan kaki mu. Besar sangatkah kesalahan aku? Dalam irama persahabatan ini, mestikah aku sentiasa berwaspada agar tak memijak kaki mu, temanku?
Manusia memang cepat berubah hati. Yang kadangkala buat aku rasa tersinggung, terkilan dan terus kecewa. Yang buat kau terfikir, kalau dahulu kita boleh menari bersama, tidak kira di atas pentas yang bagaimana sekalipun, di bawah rintik hujan, di bawah panas matahari – mengapa sekarang tidak boleh? Haruskah aku cuba menari lagi dengan kau atau biarkan sahaja irama itu mati dan pentas itu sunyi.
Akhirnya aku sedar, kita tidak lagi boleh menari dalam satu rentak yang sama, dan kita selalu bertelagah dalam memilih irama ‘ tarian perhubungan’ kita. Irama yang selama ini kita berdua suka, yang kita telah faham rentak tari yang harus kita persembahkan. Tapi entah mengapa, secara tiba-tiba kau tidak lagi suka irama itu. Sudah lapuk dan menjemukan, katamu.
Katamu lagi, pentas tempat kita menari pun sudah buruk. Kau telah jumpa pentas lain, yang lebih kukuh dan cantik. Cepatnya kau terpesona, temanku. Sedangkan teman menari mu yang baru kau kenali itu belum tentu faham langkah kaki mu dalam sekelip mata. Mengapa kau cepat tergoda dengan irama yang baru kau dengari itu?
Lalu kita bawa haluan masing-masing. Biarlah aku belajar menari sendiri-sendiri. Kerana bagimu, hanya aku yang sering tersalah langkah, tersalah andaian. Hanya aku tak pandai menari. Sedangkan kau berpuluh kali memijak kaki aku, sedikitpun aku tidak pernah kisah. Sifat egokah yang menghalang kita untuk untuk menari bersama atau sifat tiada kejujuran yang menghalang kita.
Salam Ramadhan dan Salam syawal…segalanya telah hanya kenangan yang mengusik jiwa yang cukup memillukan…..mungkin kau mengerti…..
No comments:
Post a Comment