poligami . makin banyak yang dibahaskan, makin ramai yang menyuarakan ketidakpuasan mengapa mereka diduakan.
saya tidak dapat menjawab soalan-soalan mengapa tanpa membincangkan banyak perkara daripada pelbagai sudut pandangan.
yang saya mahu, adalah saudara-saudara perempuan saya ini memahami bahawa hidup tidak selalunya indah.bukan semua yang kita idamkan akan kita dapati. takkan mungkin kehidupan ini kita layari mengikut acuan kemahuan hawa nafsu kita sendiri.
banyak benda yang harus kita muhasabah pada perjalanan hidup kita yang telah kita lalui. yang pasti, yang menentukan qada dan qadar kita adalah Yang Maha Penentu sedang Dia bukan zalim, lalu, tatkala kita mahu merasa sedih, berwaspadalah, selagi kesedihan itu bukan kerana menyalahi taqdir dan merasa bahawa Allah itu tidak adil, maka tidak mengapa; ingatlah hadis Qudsi ini; sesiapa yang tidak redha dengan qada dan qadarKu, carilah Tuhan selain Aku.
namun, kalau hati merasa sedih kerana perbuatan suami kita atau kerana diri sendiri melakukan kesilapan, itu memang sifat kita sebagai manusia yang lemah.
diduakan oleh orang yang paling kita sayang sememangnya amat memilukan. hati pecah berderai umpama kaca terhempas ke batu. terasa diri tidak dihargai, cinta kita dicurangi, langit umpama runtuh menimpa bumi, kerana itu poligami dikatakan ujian paling hebat kaum wanita. sakit bersalin yang amat sakitpun sanggup kita harungi kerana kasihkan suami dan mahu melahirkan zuriat untuknya. namun, apabila dikhabarkan ke telinga kita dia mahu berkahwin lagi kerana sudah jodoh, diri umpama tidak jejak ke bumi, hati terasa berada di awang-awangan. mimpi ngerikah aku?
tatkala, khabar bertukar realiti, hati terasa disiat-siat, benar-benar diri rasa seperti sampah. tidak berguna langsung di mata suami. pengorbanan kita selama ini seperti tidak bernilai dan tidak pernah dihargai. mungkin padanya, kita tidak pernah berjasa, apatah lagi, andai mahu memikat hati isteri baru, diceritakan segala keburukan kita, dibuka segala pekung di dada. bagaimana lagi mahu digambarkan perasaan kita? kemudian secara terang-terangan diberitahu kepada kita bahawa isteri barunya jauh lebih baik daripada kita. lalu, hati tertanya-tanya, apa sebenarnya yang masih suami mahu?
apakah perceraian? lantas, andai benar kita tidak pandai menjaga hatinya, tidak tahu kesukaan dan kegemaran. tidak membahagiakan hati, dibandingkan pula dengan yang baru. mungkin itu yang terbaik. dibimbangkan ketidak adilan tidak mampu diwujudkan.
mungkin dari segi giliran, masih boleh diatur, tetapi dari segi perasaan; mampukah menyayangi isteri yang tidak sempurna dan tidak boleh membahagiakan. mungkin silap sedikit aje si isteri itu, terus dimarahi. dijadikan punching bag. diungkit semua kesalahan lalu kemudian si suami terus berlalu pergi ke rumah isteri baru.
hati isteri yang memang telah sedia sedih,bertambah sedih. diri yang memang sedia rasa tidak berguna, bertambah tak berguna. hati yang terlalu sedih, memakan diri sendiri. tatkala ini, kemungkinan 2 perkara boleh berlaku; bertuahlah mereka yang memilih untuk kembali kepada-Nya. menyerah diri, memuhasabah dan membetulkan perjalanan kehidupan, kalau ini yang berlaku, maka ujian poligami sangat baik untuknya. dia mampu memaafkan suami, berfikir dengan akal bukan dengan hati, memikirkan masak-masak nasib anak-anak dan sebagainya.
dia boleh membetulkan kembali niatnya berkahwin untuk mendapatkan keredhaan Ilahi, lalu masih belum terlambat untuk membetulkan laluan perkahwinannya. berdoa agar dia diberikan kekuatan untuk menempuh alam baru; berkongsi suami.
tapi, andainya, yang dipilih adalah, membalas perbuatan suami dengan cara yang sama, memegang prinsip, baik; kalau engkau boleh cari lain, akupun boleh juga, maka, hancurlah rumah tangga, nasib anak-anak pasti jadi tidak menentu.
alangkah bodohnya pilihan itu, mengapa kita mahu menghulur kepala ke dalam neraka.??
walau benar sekalipun, suami berbuat seperti senario di atas tadi, pulangkan kepada Allah. Bukankah kita tidak bertanggung jawab atas apa yang orang lain berbuat? walau berguni-guni keburukan kita diceritakan kepada isterinya, walau berbuih mulutnya membandingkan, tetapi bukankah yang menilai kita adalah Yang Mencipta kita? itulah penilaian sebenar.
walau berapi-api suami memarahi kita kerana kesilapan kita, selagi kita tidak berbuat sesuatu yang di luar batasan seorang isteri, maka kita tidak akan dipertanggungjawabkan atas perbuatannya.
cumanya, kalau kita sendiri bimbang kita tidak mampu lagi berada di bawah suami kita, hati tidak dapat juga memaafkan, jiwa menderita dan kita bimbang diri kita nusyuz, maka baiknya adalah meminta supaya diri kita diberi ruang untuk hidup sendiri dan mohonlah agar Allah mencukupkan kita.
moga setiap pilihan yang dibuat bersumber dari-Nya . untuk-Nya dan kerana_nya. Dia, yang tiada Tuhan melainkanNYA.
Wallahu a'lam.
Thank you
No comments:
Post a Comment